SUBAHANALLAH..ALHAMDULILAH...ALLAHUAKBAR

Thursday, April 25, 2013

.:Kelebihan Hari Jumaat:.


"Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (HR Muslim).

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya hari Juma‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”. (HR Ibnu Majah)

Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392, disahihkan oleh al-Albani)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) ". (HR Al Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya harimu yang paling utama adalah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari itu, kerana selawatmu ditunjukkan kepadaku. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami ditunjukkan kepadamu sedangkan tubuhmu telah hancur? Rasulullah s.a.w. menjawab: Sesungguhnya Allah mengharamkan tubuh para Nabi bagi bumi (tidak hancur)." (HR Abu Daud, Nasa'i dan Ibnu Majah).

Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa yang berwuduk dan kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya”. (HR Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Pada hari Jumaat terdapat satu waktu, tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkannya. Carilah ia di akhir waktu selepas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, an-Nawawi dan al-Albani)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur (soalan di dalam kubur). (HR At-Tirmizi. Al-Albani mengatakan hadis ini hasan dalam Ahkam Janaiz).

Rasulullah s.a.w bersabda, "Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan, semuanya adalah penghapus dosa-dosa di antara kedua-duanya selagi mana dijauhi dosa-dosa besar.” [HR Muslim]

.::Ke Arah Penghayatan Islam yang Syumul:.




Fikrah kita ialah fikrah Islam atau Din Islam. Din Islam ialah Din terawal dan kekal abadi. Din Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, para sahabat RA dan pengikut-pengikut mereka hinggalah ke Hari Akhirat kelak. Din Islam ialah satu peraturan hidup yang luas, lengkap dan merangkumi semua ruang hidup.
Kita tidak boleh menambah dan mengurangkan pada mana-mana bahagian ajaran Allah SWT. Di dalam apa hal sekali pun, kita tidak boleh mendahului Islam. Kita adalah pengikut ajaran Allah SWT. Pengikut hendaklah berada di belakang.

Kita perlu menyesuaikan diri dengan Islam
Kita mestilah membentuk jiwa supaya serasi dengan ajaran Allah SWT. Jiwa dan hati hendaklah diperoses dengan Iman hingga sanggup patuh dan tunduk kepada semua ajaran Allah SWT.
Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT. Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat yang menerima Islam di Madrasah Rasulullah SAW. Kita tidak boleh memahami Islam sebagaimana yang manusia atau sebagaimana yang kita sendiri mahu. Kita perlu memahami Islam sebagaimana tuntutan dan kehendak Allah SWT. Kita tidak menurut hawa nafsu kita dalam memahami Islam. Kita mahukan Islam yang asli. Kita tidak mencampuradukkan ajaran Islam dengan ajaran yang lain. Kita perlu bersungguh-sungguh memahami Tasawwur Islam.
Islam sahaja yang benar
Islam sahajalah yang mampu menolak kekeliruan-kekeliruan yang terdapat pada sesetengah menusia. Kita tidak mudah terpengaruh dengan “nama-nama” yang elok sedangkan isinya kosong. Sesungguhnya orang mu’min itu cerdik, bijak serta pintar dan ia tidak mudah untuk ditipu dengan nama-nama sahaja.
Kita perlu ketengahkan fikrah Islam. Kita perlu sebarkan fikrah Islam kepada orang ramai dengan jelas dan terang. Kita tidak boleh menghilangkan walau pun satu huruf daripada fikrah Islam yang sebenar.
Untuk mendapatkan dan menyampaikan Islam sebenar, kita perlu mengambil Islam itu dari sumber-sumber yang sah iaitu al-Quran,as-Sunnah Rasulullah SAW dan huraian-huraian ulama’-ulama’ muktabar. Sumber kita adalah sumber syar’i.
Seluruh bidang hidup kita perlu berpandukan Din Allah SWT. Din Islam sahajalah yang diredhai Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Din yang diredhai di sisi Allah hanya al-Islam.”
-Surah Ali-’Imran: ayat 19.
“Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai Din, maka sama sekali tidak diterima daripadanya, di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang yang rugi.”- Surah Ali ‘Imran: ayat 85.
Apabila Allah SWT tidak menerima orang yang mengambil Din yang lain, maka di akhirat kelak dia termasuk ke dalam golongan orang yang rugi. Amat rugi. Kerugian dari “kaca mata” Allah SWT. Kerugian mengikut nilai Rabb al-Jalil bukan mengikut nilai manusia.
Allah SWT juga telah memberikan kata dua kepada manusia samada memilih Islam atau kekufuran. Firman Allah SWT:
“Dan katalah al-Haq itu datangnya dari Tuhanmu, maka barang siapa yang ingin beriman maka hendaklah ia beriman dan barang siapa yang ingin kafir hendaklah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang- orang kafir itu neraka yang bergejolak mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum air seperti besi mendidih (cair) yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.”
- Surah al-Kahfi: ayat 29.
Kita perlu iltizam dengan ajaran Islam dan kita persaksikan Islam dalam bentuk kehidupan. Di waktu yang sama kita wajib mempertahankan Islam. Mempertahankan kefahaman Islam sebenar.